اهلاوسهلا

Monday, August 22, 2011

AKADEMI RAMADHAN : BERUNTUNGKAH BAGI YANG BERUSAHA MENDAPATKANNYA



Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang sangat istimewa bagi umat Islam.Bulan ini bukan sahaja menyajikan keampunan daripada Allah, bahkan tersedia di dalamnya pelbagai pekej berguna untuk diri manusia.Pekej ini benar-benar dapat dirasa oleh insan yang betul-betul menggunakan setiap detik di bulan ini dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.

Akademi Ramadhan mengajar kita supaya ikhlas dalam melaksanakan tuntutan hidup.Ikhlas merupakan suatu sifat yang sukar dicapai oleh manusia, tidak diukur melalui banyaknya melakukan amalan, bukan sekadar lafaz dilaungkan atau sebesar perkataan “ikhlas” diberikan.Ikhlas ialah setiap perkara yang disusuli dengan hati yang suci dan bersih tanpa dibuat-buat.Ramadhan mengajar manusia meninggalkan makan dan minum walaupun mereka berada di tempat yang tidak dilihat oleh manusia.
Akademi Ramadhan mengajar kita supaya sabar dalam menempuh ujian dan halangan hidup serta tidak mudah marah dalam melakukan sesuatu tindakan. Allah berfirman :

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira" (Al-Zumar : 10)
Orang yang berpuasa tidak dapat lari daripada bersifat dengan sifat sabar. Oleh yang demikian, Nabi SAW bersabda :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ وَإِنْ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ
Maksudnya : “Dan jika seseorang mengajak supaya berbalah, katakanlah ‘sesungguhnya aku berpuasa’ …” (Hadith riwayat Al-Bukhari, Kitab Al-Saum, Bab Fadhlu Al-Saum)

Akademi Ramadhan mengajar kita supaya berbuat ihsan terutamanya terhadap orang miskin, menanam rasa kasih-sayang sesama manusia. Apabila kita lapar dan dahaga, kita akan dapat merasai kesempitan hidup orang yang kurang bernasib baik serta berusaha untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Oleh sebab itu, Islam mengajar umatnya supaya memperbanyakkan sedekah samada sedekah wajib mahupun yang sunat terutamanya pada bulan yang mulia ini untuk sama-sama mengukuhkan lagi sistem ekonomi umat Islam serta memberi peluang kepada orang yang kurang mampu untuk menikmati pelbagai kemudahan yang kita kecapi.

Akademi Ramadhan mengajar kita supaya sentiasa mengingati Allah pada setiap masa.Orang yang sentiasa mengingati Allah akansentiasa berhati-hati dalam melaksanakan tugas seharian. Ramadhan juga mengajak kita supaya segera meminta keampunan daripada Allah atas segala kesalahan yang telah dilakukan.

Maksudnya : “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka  dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji Yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)” (Ali Imran : 135)
Akademi Ramadhan mengajar kita supayailtizam dengan amalan-amalan wajib serta memperbanyakkan amalan-amalan sunat.

أتاكم رمضان شهر بركة فيه خير يغشيكم الله فيه فتنزل الرحمة وتحط الخطايا ويستجاب فيه الدعاء فينظر الله إلى تنافسكم ويباهي بكم ملائكته فأروا الله من أنفسكم خيرا فإن الشقي من حرم فيه رحمة الله عز و جل
Maksudnya :“Apabila tibanya Ramadhan, bulan keberkatan, maka Allah melindungi kamu pada bulan tersebut. Dia menurunkan rahmatnya, mengampunkan segala dosa serta memperkenankan doa. Pada bulan ini, Allah melihat perlumbaan kamu melakukan ibadah dan para malaikat sangat bangga melihat amalan yang kamu kerjakan.Maka tunjukkanlah segala kebaikan yang kamu lakukan kepada Allah kerana sesungguhnya orang yang celaka ialah orang yang diharamkan mendapat rahmat Allah pada bulan tersebut” (Tabrani, Kitab Saum. Albani menilai hadith ini maudhu’)
Akademi Ramadhan mengajar kita supayamenghargai masa dengan tidak melakukan perkara yang sia-sia serta mengisinya dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah
Akademi Ramadhan mengajar kita supaya menjaga hubungan dengan Allah dan manusia.Menjaga lidah, tidak hasad dengki serta tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.Masyarakat yang mempunyai hubungan baik dengan Allah akan melaksanakan hubungan baik dengan manusia. Masyarakat yang mempunyai nilai-nilai positif tidak akan menimbulkan masalah-masalah negative dalam masyarakat.
Akademi Ramadhan mengajar kita supaya melakukan perkerjaan secara produktif, tekun dan bersungguh-sungguh.Jangan jadikan puasa sebagai alasan untuk meninggalkan pekerjaan seharian.

عن عائشة أن النبي صلى الله عليه وسلم قال  إن الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu membuat sesuatu pekerjaan, ia lakukan dengan tekun” (Hadith riwayat Baihaqi)

Akademi Ramadhan mengajar kita supaya membersihkan diri daripada sifat-sifat syaitaniyyah serta menghiasinya dengan sifat-sifat mahmudah.

Akademi Ramadhan mengajar kita supaya kembali kepada fitrah sebenar sebagai seorang hamba dan khalifah Allah di muka bumi dengan melaksanakan apa yang disuruh serta meninggalkan apa yang dilarang.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

Maksudnya : “Ruang antara solat lima waktu, jumaat ke jumaat yang berikutnya serta Ramadhan ke Ramadhan yang seterusnya akan menghapuskan dosa-dosa antara kedua-duanya selagimana menjauhi dosa-dosa besar” (Hadith riwayat Muslim, Kitab al-Taharah, Bab al-Solawat al-Khams wa al-Jumuah ila al-Jumuah wa Ramadhan ila Ramadhan)

Akademi Ramadhan mengajar kita supaya tidak berputus asa dengan rahmat Allah.Dianjurkan banyak berdoa dan mengharapkan keredhaan Allah.

Tarbiyah Ramadhan melahirkan umat Islam yang mempunyai jati diri tersendiri dan seterusnya mampu mengaplikasikan segala bentuk amalan yang dilakukan sepanjang bulan ini ke dalam bulan-bulan seterusnya.